Tuesday, 16 October 2018
Wang saku : Ibu bapa ikat perut, anak belanja sakan?
Wang saku : Ibu bapa ikat perut, anak belanja sakan?
Umum mengetahui kos sara hidup yang semakin tinggi membuatkan kebanyakan ibu bapa terpaksa ikat perut. Ikat perut merupakan perkara biasa dari dahulu hingga kini. Namun, yang menghairankan walaupun ibu bapa sangat berhati-hati ketika berbelanja, ramai murid yang didapati berbelanja sakan di sekolah. 'Berbelanja sakan' yang dimaksudkan di sini termasuklah berbelanja berlebihan, belanja rakan-rakan melebihi kemampuan dan seumpamanya.
Bukanlah menjadi isu besar jika murid berbelanja sakan sekiranya berasal dari keluarga yang mampu. Bukan juga suatu kesalahan sekiranya belanja rakan-rakan dengan niat yang ikhlas. Tetapi apa yang dihiraukan apabila kita sedar sesetengah murid berasal dari keluarga yang susah, ibu bapa yang kita tahu betapa sukar untuk mereka mencari sesuap nasi sedangkan anaknya seronok berbelanja sakan.
Sikap yang lebih menggusarkan adalah sikap meminta-minta yang semakin menjadi-jadi. Mereka seolah-olah tidak mengerti keperitan yang dialami ibu bapa mereka dalam meneruskan survival kehidupan terutama dari aspek kewangan. Mereka tidak peduli dengan kesedihan terpendam dan lelah tanpa rehat ibu bapa mereka dalam pekerjaan sehari-hari.
Maka, apakah yang mereka peduli? Mereka hanya seronok berbelanja dengan wang saku yang banyak dan seronok belanja rakan-rakan dengan semua wang yang ada. Mudah bagi mereka, sekiranya habis, minta sahaja dengan ibu bapa. Sekiranya tidak diberi, hanya perlu memberontak, mogok, atau merajuk dan pasti ibu bapa akan memberi mereka wang saku seperti yang diminta.
Jadi apa salahnya? Adakah menjadi suatu kesalahan sekiranya memberi wang saku? Adakah ibu bapa yang mampu sahaja yang berhak memberikan wang saku?
Tidak sama sekali. Tidaklah menjadi suatu kesalahan sekiranya memberi wang saku. Tetapi amalan memberi wang saku yang terlalu berlebihan terutama dengan ketidakstabilan kewangan adalah sangat membimbangkan. Anak-anak perlu dididik cara menguruskan kewangan sejak dari rumah lagi.
Ibu bapa seharusnya memberi wang saku secukupnya sahaja dan menasihatkan anak-anak agar berbelanja secara bersederhana dan mengikut kemampuan. Anak-anak perlu dididik cara penggunaan wang saku yang betul dan berhemah. Bukanlah bermakna kedekut atau berkira dengan anak sendiri, tetapi demi masa depan mereka.
Tidak terfikirkah anda amalan memberi wang saku secara berlebihan boleh mengundang masalah di kemudian hari? Antaranya, apabila anak-anak sudah terbiasa dengan wang saku secara berlebihan, mereka akan terus berbelanja sesuka hati tanpa mengatur kewangan sehingga dewasa kelak. Akibatnya sekiranya mereka bekerja, duit sentiasa tidak mencukupi kerana perbelanjaan melebihi pendapatan. Bahkan, akan mengakibatkan mereka berhutang demi meneruskan kelangsungan hidup. Situasi inilah antara faktor ramai anak muda jatuh bankrap pada ketika ini.
Sememangnya kita nampak perkara ini kecil, hanya tentang wang saku. Kita beri lebih kerana inginkan yang terbaik, tidak mahu anak hidup susah. Tetapi, percayalah itu akan mengakibatkan mereka lebih susah kelak. Berilah mereka wang saku setakat yang diperlukan. Tidak perlu berlebihan dan didik mereka cara berbelanja. Didik mereka keperluan dan kehendak dan didik mereka prioriti apabila berbelanja. Sesekali boleh juga bawa ke tempat kerja untuk mereka lihat dan rasai betapa sukar mencari sesuap nasi. Selalulah berkongsi cerita jerih perih dan cabaran semasa bekerja. Melalui perkongsian, lama-kelamaan anak akan memahami betapa sukar untuk mencari duit. Apabila mereka faham, InsyaAllah mereka akan lebih berhati-hati apabila berbelanja.
Akhir kata, semoga kita bersama-sama dapat membentuk generasi yang bijak berbelanja mengikut kemampuan.
Siti Suhaila Burihan
Pendidik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Want to say something?