Monday, 15 October 2018

Kenapa silibus di Malaysia makin tidak masuk akal??


Sejak pelaksanaan KSSR dan KSSM, rakyat Malaysia mengalami 'education shock'.  Rata-rata mengeluh dan mengutuk keras dengan perubahan drastik dalam bidang pendidikan. Guru, pentadbir, murid, ibu bapa semuanya tidak mengerti mengapa silibus baru yang terlalu sukar diperkenalkan kepada murid. Dalam subjek matematik, beberapa topik di sekolah menengah dibawa ke sekolah rendah. Selain itu, ada subjek di menengah atas juga dibawa ke menengah rendah. Hal ini membuatkan rakyat Malaysia kurang berpuas hati dengan membandingkan silibus mereka dahulu dengan sekarang. Guru dan ibu bapa sangat bimbang jika murid tidak mampu untuk memahami topik yang telah dirombak secara drastik. 

Antara faktor perubahan kepada KSSR dan KSSM ini adalah bagi memastikan murid mampu bersaing pada masa akan datang dalam era globalisasi yang jauh berbeza dengan masa dahulu. Ramai yang mengetahui dan sedar betapa cerdik generasi sekarang. Lihat sahaja kanak-kanak yang lebih mahir menggunakan gajet daripada penjaganya. Mereka begitu bijak sehingga boleh meneroka setiap fungsi gajet tanpa perlu diajar. Ramai juga yang sedar yang pada masa dahulu sewaktu kanak-kanak, mereka tidak tahu bagaimana menggunakan gajet seperti kanak-kanak sekarang. Situasi ini merupakan contoh yang sangat mudah yang kita hadapi hari-hari. Situasi ini juga membuktikan anak-anak pada zaman sekarang jauh lebih cerdik dan cekap meneroka.

Pendedahan gajet yang tidak dapat dihalang dan berada di mana-mana sahaja sedikit-sebanyak telah membentuk murid yang gemar meneroka tetapi cepat bosan dengan perkara yang mudah atau tidak menarik. Situasi ini telah melahirkan generasi yang gemarkan cabaran terutama apabila pendedahan terhadap permainan elektronik yang mempunyai banyak tahap. Mereka sentiasa tidak berpuas hati dan mencuba sedaya upaya untuk bersaing dan mencapai tahap tertinggi. 

Begitu jugalah dalam bidang pendidikan dan apabila mereka ke sekolah. Mereka akan mudah bosan dengan guru yang hanya mengajar di hadapan dan mereka mendengar. Oleh kerana itu, KSSR dan KSSM dibentuk dengan elemen penerokaan. Menggalakkan murid meneroka topik yang dipelajari dari pelbagai sudut. Memang benar ada pelajar bijak dan terlalu lemah. Tetapi adakah pelajar lemah tidak boleh meneroka? Sebagai seorang guru, kita sedar tahap murid kita, dan seeloknya kita beri peluang untuk yang bijak dan yang lemah meneroka mengikut tahap mereka. 

Persoalan silibus yang tidak masuk akal pula, tahukah anda di mana tahap pendidikan Malaysia di peringkat antarabangsa? Sama tahap dengan badminton atau bola sepak di arena dunia? 
Ketahuilah kita masih di tahap bawah berbanding negara lain walaupun jiran-jiran kita Singapore, China, Jepun, Korea mendahului di tempat teratas. Kita jauh dibawah. Mengapa? Kerana kebanyakan topik yang diukur semasa TIMSS dan PISA murid kita belum sempat pelajari kerana susunan silibus sebelum ini. TIMSS dan PISA merupakan peperiksaan peringkat antarabangsa yang disertai ratusan negara. Oleh kerana itu, banyak topik dibawa lebih awal dalam KSSM dan KSSR. 

Kita merasakan silibus tidak masuk akal dan murid tidak mampu kerana ini perkara baru yang sukar diterima. Sedangkan di kebanyakan negara lain murid mereka sememangnya telah didedahkan topik-topik ini lebih awal lagi. Kita mampu menyaingi mereka. Cuma, kita perlu persediaan yang lebih rapi untuk menerima dan melaksanakannya. Mungkin guru-guru perlu dimantapkan lagi tentang pelaksanaan KSSM yang sebenar supaya kita dapat menyampaikannya dengan cara yang bermanfaat kepada murid, bukan dengan cara tekanan. Sekiranya guru sendiri merasakan perkara ini terlalu mencabar, sukar, bagaimana kita ingin sampaikan kepada anak murid dengan cara yang betul? Kita perlu robohkan dinding-dinding yang menghalang kita menerima kedatangan era globalisasi. 

Walaupun nampak sukar, saya percaya KSSM dan KSSR mampu membentuk murid yang berdaya saing pada masa akan datang yang lebih mencabar. Tetapi, pelaksanaan sangat-sangat perlu ditekankan. Setiap guru perlu diberi kefahaman yang menyeluruh dan mendalam tentang pelaksanaan KSSR dan KSSM yang diinginkan. Bukan setakat di atas kertas. 

Kaedah penyampaian mungkin boleh diperbaiki kerana sistem penyampaian ilmu di bidang pendidikan seperti aktiviti radio buruk. KPM beri pendedahan kepada JPN setangki besar ilmunya. JPN beri pendedahan kepada PPD tinggal separuh tangki. PPD beri pendedahan kepada wakil sekolah tinggal sebaldi. Wakil sekolah beri pendedahan kepada rakan guru di sekolah tinggal secawan. Guru sampaikan ilmu kepada murid tinggal apa? 

Semoga isu ini dapat dibuat penambahbaikan. Semoga penulisan panjang ini dapat membuka sedikit pintu hati rakyat Malaysia untuk menerima KSSR dan KSSM dengan baik. Bukan perkara mudah, bahkan mengundang kecaman. Tapi kita cuba perlahan-lahan. 

Saya juga sertakan beberapa gambar yang menunjukkan kedudukan Malaysia di ranking dunia dalam bidang pendidikan terutama matematik. 




No comments:

Post a Comment

Want to say something?