Tuesday, 16 October 2018

Wang saku : Ibu bapa ikat perut, anak belanja sakan?


Wang saku : Ibu bapa ikat perut, anak belanja sakan?

Umum mengetahui kos sara hidup yang semakin tinggi membuatkan kebanyakan ibu bapa terpaksa ikat perut. Ikat perut merupakan perkara biasa dari dahulu hingga kini. Namun, yang menghairankan walaupun ibu bapa sangat berhati-hati ketika berbelanja, ramai murid yang didapati berbelanja sakan di sekolah. 'Berbelanja sakan' yang dimaksudkan di sini  termasuklah berbelanja berlebihan, belanja rakan-rakan melebihi kemampuan dan seumpamanya.

Bukanlah menjadi isu besar jika murid berbelanja sakan sekiranya berasal dari keluarga yang mampu. Bukan juga suatu kesalahan sekiranya belanja rakan-rakan dengan niat yang ikhlas. Tetapi apa yang dihiraukan apabila kita sedar sesetengah murid berasal dari keluarga yang susah, ibu bapa yang kita tahu betapa sukar untuk mereka mencari sesuap nasi sedangkan anaknya seronok berbelanja sakan.

Sikap yang lebih menggusarkan adalah sikap meminta-minta yang semakin menjadi-jadi. Mereka seolah-olah tidak mengerti keperitan yang dialami ibu bapa mereka dalam meneruskan survival kehidupan terutama dari aspek kewangan. Mereka tidak peduli dengan kesedihan terpendam dan lelah tanpa rehat ibu bapa mereka dalam pekerjaan sehari-hari.

Maka, apakah yang mereka peduli? Mereka hanya seronok berbelanja dengan wang saku yang banyak dan seronok belanja rakan-rakan dengan semua wang yang ada. Mudah bagi mereka, sekiranya habis, minta sahaja dengan ibu bapa. Sekiranya tidak diberi, hanya perlu memberontak, mogok, atau merajuk dan pasti ibu bapa akan memberi mereka wang saku seperti yang diminta.

Jadi apa salahnya? Adakah menjadi suatu kesalahan sekiranya memberi wang saku? Adakah ibu bapa yang mampu sahaja yang berhak memberikan wang saku?

Tidak sama sekali. Tidaklah menjadi suatu kesalahan sekiranya memberi wang saku. Tetapi amalan memberi wang saku yang terlalu berlebihan terutama dengan ketidakstabilan kewangan adalah sangat membimbangkan. Anak-anak perlu dididik cara menguruskan kewangan sejak dari rumah lagi.
Ibu bapa seharusnya memberi wang saku secukupnya sahaja dan menasihatkan anak-anak agar berbelanja secara bersederhana dan mengikut kemampuan. Anak-anak perlu dididik cara penggunaan wang saku yang betul dan berhemah. Bukanlah bermakna kedekut atau berkira dengan anak sendiri, tetapi demi masa depan mereka.

Tidak terfikirkah anda amalan memberi wang saku secara berlebihan boleh mengundang masalah di kemudian hari? Antaranya, apabila anak-anak sudah terbiasa dengan wang saku secara berlebihan, mereka akan terus berbelanja sesuka hati tanpa mengatur kewangan sehingga dewasa kelak. Akibatnya sekiranya mereka bekerja, duit sentiasa tidak mencukupi kerana perbelanjaan melebihi pendapatan. Bahkan, akan mengakibatkan mereka berhutang demi meneruskan kelangsungan hidup. Situasi inilah antara faktor ramai anak muda jatuh bankrap pada ketika ini.

Sememangnya kita nampak perkara ini kecil, hanya tentang wang saku. Kita beri lebih kerana inginkan yang terbaik, tidak mahu anak hidup susah. Tetapi, percayalah itu akan mengakibatkan mereka lebih susah kelak. Berilah mereka wang saku setakat yang diperlukan. Tidak perlu berlebihan dan didik mereka cara berbelanja. Didik mereka keperluan dan kehendak dan didik mereka prioriti apabila berbelanja. Sesekali boleh juga bawa ke tempat kerja untuk mereka lihat dan rasai betapa sukar mencari sesuap nasi. Selalulah berkongsi cerita jerih perih dan cabaran semasa bekerja. Melalui perkongsian, lama-kelamaan anak akan memahami betapa sukar untuk mencari duit. Apabila mereka faham, InsyaAllah mereka akan lebih berhati-hati apabila berbelanja.

Akhir kata, semoga kita bersama-sama dapat membentuk generasi yang bijak berbelanja mengikut kemampuan.

Siti Suhaila Burihan
Pendidik

Monday, 15 October 2018

Kenapa silibus di Malaysia makin tidak masuk akal??


Sejak pelaksanaan KSSR dan KSSM, rakyat Malaysia mengalami 'education shock'.  Rata-rata mengeluh dan mengutuk keras dengan perubahan drastik dalam bidang pendidikan. Guru, pentadbir, murid, ibu bapa semuanya tidak mengerti mengapa silibus baru yang terlalu sukar diperkenalkan kepada murid. Dalam subjek matematik, beberapa topik di sekolah menengah dibawa ke sekolah rendah. Selain itu, ada subjek di menengah atas juga dibawa ke menengah rendah. Hal ini membuatkan rakyat Malaysia kurang berpuas hati dengan membandingkan silibus mereka dahulu dengan sekarang. Guru dan ibu bapa sangat bimbang jika murid tidak mampu untuk memahami topik yang telah dirombak secara drastik. 

Antara faktor perubahan kepada KSSR dan KSSM ini adalah bagi memastikan murid mampu bersaing pada masa akan datang dalam era globalisasi yang jauh berbeza dengan masa dahulu. Ramai yang mengetahui dan sedar betapa cerdik generasi sekarang. Lihat sahaja kanak-kanak yang lebih mahir menggunakan gajet daripada penjaganya. Mereka begitu bijak sehingga boleh meneroka setiap fungsi gajet tanpa perlu diajar. Ramai juga yang sedar yang pada masa dahulu sewaktu kanak-kanak, mereka tidak tahu bagaimana menggunakan gajet seperti kanak-kanak sekarang. Situasi ini merupakan contoh yang sangat mudah yang kita hadapi hari-hari. Situasi ini juga membuktikan anak-anak pada zaman sekarang jauh lebih cerdik dan cekap meneroka.

Pendedahan gajet yang tidak dapat dihalang dan berada di mana-mana sahaja sedikit-sebanyak telah membentuk murid yang gemar meneroka tetapi cepat bosan dengan perkara yang mudah atau tidak menarik. Situasi ini telah melahirkan generasi yang gemarkan cabaran terutama apabila pendedahan terhadap permainan elektronik yang mempunyai banyak tahap. Mereka sentiasa tidak berpuas hati dan mencuba sedaya upaya untuk bersaing dan mencapai tahap tertinggi. 

Begitu jugalah dalam bidang pendidikan dan apabila mereka ke sekolah. Mereka akan mudah bosan dengan guru yang hanya mengajar di hadapan dan mereka mendengar. Oleh kerana itu, KSSR dan KSSM dibentuk dengan elemen penerokaan. Menggalakkan murid meneroka topik yang dipelajari dari pelbagai sudut. Memang benar ada pelajar bijak dan terlalu lemah. Tetapi adakah pelajar lemah tidak boleh meneroka? Sebagai seorang guru, kita sedar tahap murid kita, dan seeloknya kita beri peluang untuk yang bijak dan yang lemah meneroka mengikut tahap mereka. 

Persoalan silibus yang tidak masuk akal pula, tahukah anda di mana tahap pendidikan Malaysia di peringkat antarabangsa? Sama tahap dengan badminton atau bola sepak di arena dunia? 
Ketahuilah kita masih di tahap bawah berbanding negara lain walaupun jiran-jiran kita Singapore, China, Jepun, Korea mendahului di tempat teratas. Kita jauh dibawah. Mengapa? Kerana kebanyakan topik yang diukur semasa TIMSS dan PISA murid kita belum sempat pelajari kerana susunan silibus sebelum ini. TIMSS dan PISA merupakan peperiksaan peringkat antarabangsa yang disertai ratusan negara. Oleh kerana itu, banyak topik dibawa lebih awal dalam KSSM dan KSSR. 

Kita merasakan silibus tidak masuk akal dan murid tidak mampu kerana ini perkara baru yang sukar diterima. Sedangkan di kebanyakan negara lain murid mereka sememangnya telah didedahkan topik-topik ini lebih awal lagi. Kita mampu menyaingi mereka. Cuma, kita perlu persediaan yang lebih rapi untuk menerima dan melaksanakannya. Mungkin guru-guru perlu dimantapkan lagi tentang pelaksanaan KSSM yang sebenar supaya kita dapat menyampaikannya dengan cara yang bermanfaat kepada murid, bukan dengan cara tekanan. Sekiranya guru sendiri merasakan perkara ini terlalu mencabar, sukar, bagaimana kita ingin sampaikan kepada anak murid dengan cara yang betul? Kita perlu robohkan dinding-dinding yang menghalang kita menerima kedatangan era globalisasi. 

Walaupun nampak sukar, saya percaya KSSM dan KSSR mampu membentuk murid yang berdaya saing pada masa akan datang yang lebih mencabar. Tetapi, pelaksanaan sangat-sangat perlu ditekankan. Setiap guru perlu diberi kefahaman yang menyeluruh dan mendalam tentang pelaksanaan KSSR dan KSSM yang diinginkan. Bukan setakat di atas kertas. 

Kaedah penyampaian mungkin boleh diperbaiki kerana sistem penyampaian ilmu di bidang pendidikan seperti aktiviti radio buruk. KPM beri pendedahan kepada JPN setangki besar ilmunya. JPN beri pendedahan kepada PPD tinggal separuh tangki. PPD beri pendedahan kepada wakil sekolah tinggal sebaldi. Wakil sekolah beri pendedahan kepada rakan guru di sekolah tinggal secawan. Guru sampaikan ilmu kepada murid tinggal apa? 

Semoga isu ini dapat dibuat penambahbaikan. Semoga penulisan panjang ini dapat membuka sedikit pintu hati rakyat Malaysia untuk menerima KSSR dan KSSM dengan baik. Bukan perkara mudah, bahkan mengundang kecaman. Tapi kita cuba perlahan-lahan. 

Saya juga sertakan beberapa gambar yang menunjukkan kedudukan Malaysia di ranking dunia dalam bidang pendidikan terutama matematik. 




Tuesday, 9 October 2018

Tingkatan 3 : Trigonometri

Topik Tingkatan 3 : Trigonometri
==========================

Cara mengenal pasti hipotenus, sisi bersebelahan dan sisi bertentangan dengan sudut yang diberikan.

Formula Ringkas untuk menentukan panjang sisi segi tiga bersudut tegak apabila diberi panjang dua sisi yang lain.

P/s :  edit sambil tunggu turn Kat klinik. Suami isteri mc berhari2 gara2 wabak sakit mata 😅. Naseb bukan musim exam.

#teachingmypassion
#modulmathcikgusuhaila



Tingkatan 5 : Ubahan

Nota Santai : Makhluk Ubahan LGBT (Ting 5 Bab Ubahan)
===============================================
Walaupun selepas menguasai konsep, murid sering Terlupa yang mana di atas dan mana di bawah.

Alang-alang tengah hebat isu makhluk Ubahan ni, maka kita pun aplikasikan dalam proses 'ingat sampai mati'.

Faham ke?
Agak2 boleh ingat sampai mati tak? 😜

#teachingmypassion
#modulmathcikgusuhaila


Tingkatan 4 :Statistik

Topik Tingkatan 4 : Statistik
=======================

Tips ringkas membina
Poligon kekerapan
Histogram
Ogif

Dan konsep ringkas melengkapkan
Kekerapan longgokan

#teachingmypassion
#modulmathcikgusuhaila





Tingkatan 5 :Graf Fungsi

Topik Tingkatan 5 : Graf Fungsi
==========================

Penentuan positif dan negatif bagi graf

Linear
Kuadratik
Kubik
Salingan

#teachingmypassion
#modulmathcikgusuhaila





Tingkatan 5: Bumi sebagai Sfera

Topik Tingkatan 5 : Bumi sebagai sfera
================================

Perbezaan latitud dan longitud.

Menentukan sesuatu Koordinat jika diberi Koordinat suatu titik yang merupakan diameter selarian latitud atau diameter bumi.

Tips melalui kaedah penceritaan.

#modulmathcikgusuhaila